Wednesday, October 6, 2010

Kekasih


Tika melihat susunan buku di atas rak, fikiran mula melayang-layang, mengimbau sajak karya Usman Awang yang sangat syahdu dan meruntun jiwa nan lara...


Kekasih

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali mengikatmu
Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan ranjang tidurmu
Akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang menudungi rambutmu
Akan kujahit bayu gunung
menjadi baju pakaian malammu
Akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang menyinari dadamu
Akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu menyuluhi rindu
Akan kurebahkan matahari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

Kekasih,
hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.

Usman Awang

GENRE: CERPEN

Genre/bidang cerpen dalam kesusasteraan Melayu termasuk dalam kategori cereka, merupakan satu bidang yang popular. Terdapat lima genre/bidang dalam kesusasteraan Melayu moden iaitu cerpen, drama, esei/kritik, novel dan puisi.


Cerpen ialah cerita berdasarkan fakta dicampur dengan imaginasi manakala sastera pula payah diberikan definisi yang universal, justeru sastera bukan sesuatu yang dijumpai tetapi sebuah nama yang diberikan kepada sesebuah karya tertentu dalam lingkungan budaya tertentu. Bagaimanapun dapat disimpulkan bahawa kesusasteraan ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Di dalamnya ada bahan yang indah, bahasa yang indah dan teknik penceritaan yang indah. Yang indah dalam kesusasteraan juga bukan hanya yang cantik di mata tetapi mempunyai nilai estatika.


Dengan ini cerpen ialah satu gabungan yang tidak seimbang antara pengalaman (realiti/benar berlaku) dengan rekaan (imaginasi) pengarang.


Panjangnya cerpen ialah antara 5,000 hingga 20,000 patah perkataan. Oleh sebab makna dari segi istilah cerpen itu ialah cerita pendek maka ada yang menyebutkan panjang cerpen ialah sehabis meminum secawan kopi atau sehabis menghisap sebatang rokok.


Apa yang mesti ada dalam karya sastera seperti cerpen?


Yang pertama
Intelek iaitu ada sesuatu pemikiran yang tinggi dalam cerpen tersebut. Maknanya dalam karya tersebut ada mesej yang mahu disampaikan kepada pembaca supaya boleh direnung dan difikir oleh pembaca untuk dijadikan panduan, mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.


Yang kedua
Pancaran emosi dalam cerpen tersebut sama ada gembira, sedih, sinis. Maknanya cerpen tersebut memilih persoalan dan stail/gaya bahasa yang boleh dihayati dengan baik oleh pembacanya dan dapat menimbulkan suatu fikiran khusus serta memberikan kesan pengajaran dan hiburan.


Yang ketiga
Peristiwa/persoalan dalam cerpen tersebut dituliskan dengan mata hati dan mata fikir iaitu dengan imaginasi yang mengandungi unsur-unsur pemikiran bukan angan-angan. Ada matlamat dalam penulisan cerpen ini dan biasanya hal-hal yang positif.


Yang keempat

Sesebuah cerpen ada teknik persembahannya iaitu cara olahannya, susunan peristiwanya dan diksi-diksi yang dipilihnya.

Cerpen...

Bentuk cerpen


Pertama

mimesis/peniruan iaitu meniru atau merakamkan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ditambah dengan imaginasi pengarang.


Kedua

cerpen beralasan iaitu mengadakan satu dasar atau alasan untuk mengubah bentuk biasa seperti menciptakan watak daripada mahluk asing.


Ketiga

cerpen mimpi iaitu cerita seperti dalam mimpi, dengan sifat luar biasanya, perlambangan tertentu sehingga ada waktunya tidak boleh diterima akal.


Teknik penceritaan cerpen

boleh dengan dialog untuk menghidupkan pemikiran. Dengan aksi pula cerita bergerak pada dasarnya, dengan perlukisan cerita bergerak dengan latar pilihannya dan pendedahan akan memberikan gambaran atau tema tertentu cerpen.


Ciri-ciri khas cerpen (cerpen konvensional)

1. Singkat, padu, intensif (ada perkara yang ditekankan)
2. Ada adegan, watak, gerak.
3. Bahasa tajam dan menarik
4. Interpretasi pengarang kepada kehidupan
5. Dapat menimbulkan satu kesan
6. Menarik perasaan pembaca
7. Penggambaran jelas pada peristiwa yang dipilih
8. Ada cerita/persoalan utama, watak utama, latar dan suasana


Anda mahu menjadi penulis yang disegani?

SIFAT-SIFAT PENULIS


Bagaimana nak menulis karya kreatif?

Penulisan kreatif seperti cerpen ini sebenarnya tidak dapat diajar. Pembimbing tidak dapat memberitahu seseorang bagaimana hendak menulis namun pembimbing dapat menerangkan bagaimana hendak menulis dengan lebih baik.


Yang penting penulis :

  1. mestilah peka terhadap keadaan manusia dan berusaha memaparkan perasaannya.
  2. mestilah cintakan kata-kata supaya frasa yang dicipta akan mengharukan pembaca.
  3. mestilah meminati dunia penulisan dan mengasingkan diri dengan tulisan supaya dapat melihat apa yang baik dan yang buruk tentang tulisannya.
  4. mestilah ada sikap yang teliti.
  5. mestilah menjadikan tulisannya sebagai amalan harian, bukan hasil sekali sekala.
  6. mestilah menulis kerana mahu menulis bukan kerana sebab yang lain seperti kewangan misalnya.
  7. mestilah berani menghadapi cabaran. Menggunakan karya yang ditolak sebagai dorongan untuk menulis dan bukan sebagai tanda dunianya telah kiamat.

Bagaimana nak menjadi penulis?


Bakat

Bakat anugerah Allah yang sukar dilihat. Ada percanggahan pendapat oleh para pengarang mengenai hal ini.

Contohnya : SN Keris Mas menyebutkan bakat sangat penting sementara SN A. Samad Said menyatakan bakat kurang penting tetapi usaha dan minat lebih penting.


Minat

Ada keinginan untuk menulis.


Rajin membaca

Hal ini diakui oleh ramai penulis seperti Anwar Ridhwan dan Khadijah Hashim. Pembacaan akan memberi idea untuk menulis persoalan yang lain. Pembacaan akan melibatkan penamatan dan akan menimbul idea pertama.


Ada cita-cita untuk menjadi penulis.

Hasrat atau harapan akan menjadi pendorong.

Thursday, September 23, 2010

Kiev bangkit dari kesengsaraan...

Kiev, sebuah bandar yang terletak di Ukraine, memberi ilham kepada saya dalam menghasilkan sebuah cerpen yang mengangkat peperangan sebagai persoalan yang dominan. Kiev atau nama asalnya, Kyvi, terletak di utara Ukraine dan mempunyai kapasiti penduduk berjumlah 2.8 juta.

Siapa sangka, di sebalik keindahan dan kedamaian Kiev, suatu masa dahulu ia pernah menjadi lokasi ribuan askar terkorban dalam Perang Dunia Kedua. Memori dari peperangan tersebut masih mekar dalam ingatan kerana ramai yang kehilangan ahli keluarga dalam perang tersebut. Dianggarkan hampir 10 juta orang rakyat Ukraine terkorban pada Perang Dunia Kedua.

Hampir kebanyakan dokumentari perang yang disiarkan di media lebih memfokuskan penglibatan tentera Germany yang dipimpin oleh Adolf Hitler tetapi cerpen yang sedang saya hasilkan lebih memfokuskan seteru mereka dalam World War II iaitu Ukraine.




Bingkisan video di atas memberi sedikit gambaran tentang suasana ketika serangan Germany ke atas Ukraine pada tahun 1939 sehingga 1945.

Sinaran yang menenangkan...



Sinar bulan yang kelam seperti memanggil-manggil
Menembusi tingkap yang menghadap pepohon nan mekar
Seolah-olah ingin membuktikan
dirinya juga layak bersinar seperti sang mentari
Namun
semuanya telah ditentukan
Ada baiknya
sang mentari bersinar terang
menerangi kehidupan manusia di muka bumi
Ada baiknya
bulan bersinar lemah
menyoroti malam yang menghadirkan seribu erti
yang melangkau segala batas pemisah
semoga teruslah bersinar
supaya kita mengerti
kita hanyalah insan kerdil
yang tak punya apa-apa